Followers

Pemergianmu Menghadap Ilahi...

" DaripadaNya kita datang, kepadaNya jua kita kembali..."

Apakah perasaan kita, apabila seorang insan yang kita gelarkannya 'ummi', yang banyak mendidik, memberi kata semangat, menasihati kita dan mengajar kita, pergi dijemput Rabb Maha Penyayang dan Maha Pencipta?

Mungkin ada dalam kalangan kita pernah merasainya bukan?

Merasai satu kehilangan bagi setiap orang yang kita kasihi.

Begitulah juga sepertimana para sahabat merasai satu kehilangan (Nabi Muhammad SAW) suatu ketika dahulu. Begitulah perasaan kita terhadap insan yang kita kasihi pergi menghadap Ilahi.

Allah SWT berfirman dalam Al-Quran melalui Surah 'Ali Imran ayat 185, tafsirnya;

"Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai kematian..."

Sesungguhnya, kehidupan kita di muka bumi Allah SWT ini adalah satu persinggahan dan bekalan kepada kita untuk pergi berhijrah ke alam akhirat kelak. Dan nyawa setiap anak Adam itu terletak pada Penciptanya, yakni Allah SWT. Itulah yang membuatkan kita yang berada di muka bumi-Nya ini benar-benar kerdil di sisi-Nya. Dan Allah SWT jugalah yang berhak menghidup dan mematikan setiap manusia yang diutuskan sebagai khalifah di bumi ini.

Ajal dan kematian kita telah ditakdirkan dan disuratkan oleh Allah SWT. Dalam hal ini, kita sebagai hamba Allah SWT yang lemah dan kerdil di sisi-Nya tidak mampu untuk mengubah ajal dan kematian kita.

Akhirnya dikau pergi jua menghadap Rabbul 'Izzati...

Tanggal 14 Mei 2009 pada jam 6.15, seorang insan yang begitu banyak mendidik dan memberi kata semangat kepada diriku telah pergi dijemput Ilahi. Tanda kasih-sayang Allah SWT ke atas hamba-hambaNya.

Dan dialah, Datin Halimaton binti Hussein ataupun saya lebih mesra dengan panggilan 'Ummi'. Dia merupakan 'zaujah' ataupun isteri kepada Ustaz Dahlan bin Mohd Zain, Pengetua atau Mudir sekolah menengah saya, MATRI, Perlis.

Ummi, semoga Allah SWT saja yang membalas jasamu...

Dan dia jugalah merupakan seorang Guru Bahasa Melayu saya yang paling saya minat setiap kali berada dalam waktu pembelajarannya. Kerana hakikatnya di dalam kelas, dia bukan sahaja mengajar malahan mendidik.

Ummi yang sebenar-benarnya telah saya anggap dia sebagai ibu saya, kini pergi meninggalkan saya dan 'anak-anaknya' yang lain. Saya senang bergurau dan berkongsi masalah dengan Ummi. Selain itu juga, Ummi merupakan seorang guru yang banyak memberi ilmu dan saya secara jujurnya banyak mendapat ilmu melalui beliau. Khususnya dalam bidang penulisan.

Namun begitu, Ummi yang saya sebut-sebutkan ini juga tidaklah mengajarkan kami dengan Subjek Bahasa Melayu sahaja, malahan Ummi juga 'mendidik' kami supaya sentiasa "success" dalam setiap bidang yang kita ceburi. Dan dengan itu juga, mestilah seiring dengan didikan Islam.

"Dalam setiap apapun yang kita lakukan... Belajar, main, menjalani Tarbiah Islamiah dan sebagainya, semua itu mestilah seiring."

Itulah antara kata-kata azimat Ummi buat kami ketika berada di Tingkatan 5 Sastera Mus'ab. Itulah yang saya sematkan dalam hati saya. Memang benar seperti yang Ummi katakan. Dalam kehidupan kita sebagai seorang yang membawa imej Islam, kita perlu ada 'tawazun' (keseimbangan). Dan 'tawazun' inilah yang akan membezakan antara seseorang yang benar-benar berjaya dari aspek dunia dan akhirat, ataupun berjaya sekadar di dunia sahaja.

Seperti saudara Hilal Asyraf, saya secara peribadi tidak bersedih atas pemergian Ummi menghadap Allah Yang Esa. Saya juga yakin, InsyaAllah Allah SWT akan membalas atas segala penat lelah Ummi ketika berada dengan 'anak-anaknya' di MATRI. Semoga Ummi ditempatkan bersama dengan orang-orang yang soleh, Ummi. Wafiy mendoakan...

Hakikatnya, seperti yang saya katakan di atas bahawa Allah SWT lebih menyayangi Ummi. Kerana itulah Ummi pergi menyahut seruan Ilahi bertemu Yang Maha Penyayang. Cumanya, inilah yang dikatakan setiap penyusunan Allah SWT itu begitu cantik ke atas hamba-hamba yang Dia sayangi. Alhamdulillah, Allah SWT izin guru kesayanganku ini dijemputNya pada hari tersebut malamnya malam Jumaat dan dikebumikan pada penghulu segala hari, Jumaat.

Bagi saya, inilah yang dikatakan 'rehat' buat Ummi. Saya juga percaya bahawa Allah SWT akan membalas segala penat lelah dan pengorbanan Ummi ketika mana usianya adalah usia untuk berada di rumah. Melayan suami, berehat dan melakukan segala urusan hanya di rumah. Namun usia Ummi yang semakin meningkat tua itu, dikorbankan untuk berkhidmat dan mencurahkan bakti sebagai seorang guru dan juga 'ummi' di sekolah saya. Begitu juga dengan suami Ummi, Ustaz Dahlan bin Mohd Zain. Tanda cinta dan kasih-sayang Ummi kepada setiap 'anak-anaknya'.

Sebenarnya, memang saya tidak bersedih atas pemergiannya. Namun saya sedikit terkedu kerana tidak sempat menatap wajah Ummi buat kali yang terakhir. Pada petang 14 Mei 2009 tersebut, sememangnya saya menyatakan hasrat di hati saya kepada ibu kandung saya, untuk menziarahi Ummi. Kerana pada masa yang sama, ibu kandung saya akan pergi melawat Ummi di Hospital Tunku Fauziah, Kangar dengan mak cik-mak cik dari Alor Star. Namun, Allah izin saya tidak boleh pergi.

Pada hari itu, perasaan saya ini seperti meronta-ronta kerana tidak dapat menziarahi beliau seperti sesuatu akan berlaku.

"Ya Allah. Engkau sembuhkanlah penyakit guruku ini."

Mohon diri saya kepada Allah SWT, menembak doa dari jauh buat Ummi tercinta.

Tepat jam 6.17 petang, saya menerima mesej daripada sahabat saya;

"Ummi Halimaton telah kembali ke rahmatullah. Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah atas pemergian beliau."

Innalillah hi Wainna Ilaihi Raji'un...

Daripada Allah kita datang dan kepada Dia juga kita kembali.

Hanya itulah lafaz hati yang terbenak dalam diri saya ketika itu. Sememangnya perasaan yang bermain-main dalam diriku menunjukkan bahawa sememangnya Ummi akan meninggalkan kami.

Mengimbas detik-detik akhir pertemuan dengan Ummi, saya berjumpa Ummi ketika ziarah yang 'terakhir' saya sebelum saya melangkah ke IPT.

Itulah detik-detik akhir diri saya bersama-sama dengan Ummi. Berkongsi kegembiraan dan pandangan.

Pada hari itu, saya berselisih dengan Ummi di dataran sekolah dan Ummi memanggil saya. Mengajak ke keretanya seperti mahu memberikan sesuatu.

Nak menunjukkan kasih-sayang dan pengorbanan Ummi ini, dia menyerahkan wang bernot RM50 kepada saya.

"Tak payahlah Ummi."

"Tak pa. Ambiklah... Anta dah banyak tolong Ummi. Ummi nak bagilah sikit sebelum anta nak masuk IPT ni."

"Terima kasih Ummi."

Ummi juga gembira dengan kejayaanku dan sahabat-sahabat yang lain. Ummi ini bukan sahaja meraikan 'anak-anaknya' yang berjaya, malahan juga sebaliknya. Dia tidak pernah putus asa untuk memberikan kata-kata semangat kepada 'anak-anaknya'.

Namun, kini Ummi telah pergi meninggalkan kita semua. Hanya tinggal kenangan bersama Ummi dalam diari kehidupan saya. Bagi saya, Ummi lah ibarat ibu saya yang kedua ketika di MATRI meskipun saya mengenali Ummi dengan lebih rapat ketika berada di tingkatan lima.

Ummi memang sukar dicari ganti...

Semoga Allah SWT mempermudahkan perjalanan Ummi menuju Ilahi. Semoga Allah SWT melapangkan dan mempermudah segala urusan Ummi di alam barzakh. Semoga Allah SWT menempatkan diri Ummi tergolong dalam golongan orang-orang yang soleh.

"Apabila matinya seorang anak Adam, maka terputuslah segala amalannya melainkan 3 perkara; sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakannya." Al-Hadith

Saya menyeru kalian termasuk diri saya, sama-sama kita mensedekahkan doa untuk 'Ummi' saya yang kini telah pergi menemui Ilahi Maha Penyayang.

Terima kasih buat semua yang ber'sedekahkan' doa kepada Ummi saya meskipun jika kalian tidak mengenali Ummi ini.

Semoga Allah SWT membalas dan memakbulkan doa-doa kita semua. Amiin..

Namun, ingatlah bahawa tidak mustahil kita juga akan mengalami rasa kematian. Kerana Dialah yang menghidupkan kita, dan Dialah juga yang mematikan kita. Apa yang boleh kita lakukan bagi menyahut seruanNya?

Allah SWT jualah Yang Maha Mengetahui setiap satu kejadian makhlukNya.

Terukanlah berdoa buat insan yang telah pergi meninggalkan kita.

Al-Fatihah...

Kenangan Kelas BM terakhir Tingkatan 5 Putera 2008...Terima kasih Ummi...








8 Responses so far.

  1. amruirfan says:

    Subhanallah.. Air mata ana berguguran lagi bila baca artikel anta.. Dia bukan hanya seorang guru dan pendidik hebat, tetapi dia adalah seorang Ummi..

    Ya Allah tempatkanlah Ummi disamping orang2 yang Soleh yang diberkatiMu.. Insya Allah kami menjadi saksi perit payah pengorbanan Ummi.. Amiin.

  2. Kepada Abg. Amru Irfan...

    Sememangnya pekerjaan sebagai seorang guru merupakan pekerjaan yang mulia.

    Seorang guru itu bukan sahaja mengajar malahan seorang guru yang mithali itu turut mendidik.

    Seperti contoh yang Rasulullah SAW tunjukkan kepada kita.

    Moga Ummi tergolong dalam golongan guru-guru dan 'ummi' yang Allah SWT angkat darjat mereka, Amiin.

    Sama-samalah kita doakan Ummi tercinta.

    Al-FAtihah.

  3. jika kita diizinkan ke syurga maka Ummilah yang akan mendahului. Kerana dia antara mereka yang menunjuk kita jalan ke sana.

  4. Kepada Abg Umar Eiman...

    InsyaAllah. JIka Allah SWT mahukan hamba-hambaNya yang Dia sayangi ke dalam syurga, maka Dia benar-benar akan laksanakan.

    Hakikatnya janji-janji Allah SWT itu adalah pasti buat mereka yang benar-benar menolong agamaNya.

    Sama-samalah kita doakan agar Ummi ditempatkan bersama para solehin di syurgaNya. Amiin..

    InsyaAllah.

  5. mrs. masyitah fakir says:

    airmataku menitis lagi...
    Ya Allah..kuatkanlah hatiku untuk kembali ke bumi itu suatu amsa nanti..

  6. Kepada Mrs.Masyitah Fakir...

    InsyaAllah anda akan jejakkan kaki ke sana jika Allah SWT mengizinkan.

    Doalah agar roh Ummi dicucuri rahmat.

  7. adol says:

    takziah saya ucapkan...

  8. "Sesungguhnya setiap yang bernyawa itu pasti akan merasai kematian..."

    Kepada Adol,

    Sama-samalah kita berdoa agar insan-insan yang telah pergi meninggalkan kita bersama-sama dengan para solehin.

    Brohandzalah Copyright 2009

Popular Posts